Wednesday, 11 January 2012

Inernet di mana jua dengan modem Wi-Fi daripada Maxis

Dengan meningkatnya penggunaan laptop, smartphone, dan tablet, permintaan untuk sambungan Internet mudah alih juga semakin meningkat. Atas permintaan inilah Maxis mula memperkenalkan modem Wi-Fi untuk pengguna yang mempunyai banyak gajet pada satu masa. Artikel ini akan mengulas tentang kebaikan dan kelemahan modem Wi-Fi daripada Maxis ini.

Pengenalan kepada modem Wi-Fi

Jelas pada namanya, modem Wi-Fi daripada Maxis ini bertindak sebagai router yang menyediakan sambungan Internet wireless untuk beberapa peralatan. Ia berbeza dengan modem broadband yang biasa anda lihat sebelum ini, di mana ia hanya boleh disambungkan kepada satu komputer sahaja. Modem Wi-Fi ini mampu menyediakan sambungan Internet untuk tiga ke lima peralatan yang berlainan.
Selain daripada modem Wi-Fi, kebanyakan smartphone juga boleh melakukan fungsi yang sama, malah anda tidak perlu menggunakan sebarang peralatan tambahan. Namun ia akan menghabiskan bateri smartphone lebih cepat. Jadi lebih baik habiskan bateri modem Wi-Fi daripada bateri smartphone, kerana penggunaan smartphone lebih kritikal dan peribadi.

Berkongsi sambungan Internet bersama rakan

Saya selalu menggunakan modem Wi-Fi di pejabat apabila sambungan Internet kami mengalami kesesakan akibat terlalu ramai pengguna. Malah apabila kami berada di luar dan memerlukan akses ke email dengan segera, modem Wi-Fi menjadi penyalamat.

Satu modem untuk semua gajet

Dengan satu modem sahaja, anda sudah boleh melayari web menggunakan laptop, smartphone, dan tablet anda pada masa yang sama. Jadi anda tidak perlu risau untuk melanggan pakej Internet yang berlainan bagi setiap peralatan.

Mudah dicaj

Modem Wi-Fi ini hanya memerlukan sambungan USB ke komputer untuk dicaj, jadi jika anda mempunyai laptop anda bersama, anda tidak perlu risau akan kehabisan bateri.
Sayangnya Maxis tidak menyediakan plug bagi pengguna yang lebih selesa menggunakannya, kerana kadang kala ruang kosong pada port USB adalah tidak mencukupi.

Mudah dibawa

Modem yang bersaiz poket ini sangat mudah dibawa bersama. Jika anda lihat pada gambar di atas, anda boleh bandingkan bagaimana kecilnya modem Wi-Fi daripada Maxis berbanding huddle daripada YES4G.

Tidak terikat dengan penyedia Internet

Tidak seperti huddle YES4G, modem Wi-Fi daripada Maxis ini membenarkan anda untuk bertukar penyedia Internet yang lain sekiranya anda mahu.

Roaming

Saya belum lagi menggunakan fungsi roaming ini. Namun jika ianya berfungsi, ia akan sangat membantu apabila anda merantau ke luar negara.

Tempoh penggunaan yang singkat

Walaupun anda menyambungkan modem ini kepada komputer, ia masih tidak sesuai digunakan untuk jangkamasa yang lama. Perkara ini tidak menjadi masalah jika anda hanya memerlukan Internet di luar rumah selama 2 hingga 4 jam, tapi ia adalah tidak sesuai jika anda ingin menggunakannya sepanjang hari.
Oleh kerana saiznya yang kecil, modem Wi-Fi ini juga cepat panas apabila digunakan.

Indikator yang tidak mesra pengguna

Saya dapati indikator yang terdapat pada modem ini adalah sukar difahami dengan simbol-simbolnya yang pelik. Simbol-simbol tersebut juga sangat ringkas – anda tidak tahu jika anda disambungkan kepada EDGE atau GPRS, anda tidak tahu berapa lama bateri akan bertahan, dan sebagainya.
Lampu pada indikator itu juga selalu ditutup secara automatik untuk menjimatkan bateri, namun ia menjadi sangat menyusahkan apabila anda selalu ingin memeriksa sambungan Internet anda.

Rumusan

Modem Wi-Fi daripada Maxis menyediakan sambungan Internet di mana sahaja, dan boleh digunakan oleh semua peralatan dan gajet yang anda miliki, walaupun ia tidak mempunyai fungsi 3G. Saiznya yang kecil juga menjadikan modem in senang dibawa.
Walaupun ia mempunyai beberapa kelemahan seperti jangka hayat penggunaan yang singkat serta lampu indikator yang tidak mesra pengguna, namun modem ini masih sesuai digunakan bagi kebanyakan orang yang hanya menghabiskan masa beberapa jam untuk bekerja di luar.
Cuma harapannya Maxis dapat meningkatkan lagi kualiti dari segi kelajuan dan liputan, kerana saya masih mendapat signal yang lemah di beberapa tempat.

No comments:

Post a Comment